|
TEMERLOH: Hospital Temerloh (HT) bernilai RM480 juta akan memulakan perkhidmatan
pada 1 April ini selepas rawatan percubaan kepada
pesakit selama enam hari bermula 23 Mac ini dilaksanakan
bagi memastikan semua peralatan moden di situ
berfungsi dengan baik.
Bagaimanapun, Hospital Mentakab (HM) akan terus
dibuka khusus untuk perkhidmatan pesakit luar
dan haemodialisis, selain ruang wad pesakit sebelum
ini digunakan untuk latihan.
Sultan Pahang bertitah rakyat perlu menggunakan
sepenuhnya kemudahan canggih yang disedikan kerajaan
di HT dan berusaha memuliharanya dengan baik kerana
kos dilaburkan adalah tinggi.
Titahnya, Kementerian Kesihatan menerusi Ketua
Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Ismail
Adam, turut memberi jaminan kemudahan Pengimbas
imej Magnetik (MRI) bernilai RM5 juta dan kemudahan
pembedahan jantung terbuka juga akan disediakan
di HT dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),
tahun depan.
“Saya menasihatkan rakyat menggunakan sepenuhnya
kemudahan canggih di sini dan bertanggungjawab
menjaganya kerana ia disediakan kerajaan untuk
semua golongan rakyat tanpa memilih darjat”.
“Hospital ini juga menyediakan balai pelawat
iaitu tempat berehat dan beribadah kepada orang
ramai yang datang mengunjung pesakit di sini”,
titahnya selepas melakukan lawatan kerja ke HT,
di sini semalam.
Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang; Timbalan
Menteri Besar, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak;
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat
dan Hal-Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Ishak Muhamad;
dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Hassan
Abdul Rahman.
HT termasuk Pusat Rawatan Pesakit Luar, Unit
Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi
yang dilengkapi kolam hidroterapi moden, pusat
pentadbiran dan wad canggih.
Sultan Pahang bertitah rakyat sepatutnya bersyukur
dan berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan
kemudahan seumpama itu di Pahang.
Sementara itu, Dr Hasan ketika memberi taklimat
pada majlis itu berkata, selain pesakit luar dan
haemodialisis, semua perkhidmatan di HM akan ditutup
selepas dua minggu pemindahan dilakukan ke HT.
Beliau berkata, kemudahan 498 katil pesakit
di HT sekarang berbanding hanya 330 katil di HM
boleh dikembangkan kepada 700 katil pada masa
depan.
“pembukaan HT menyebabkan 500 jawatan
baru diwujudkan, menjadikan keseluruhan jawatan
kepada 1,308 orang termasuk 22 pakar perubatan,
66 doktor bukan pakar dan 303 jururawat,”
katanya.
|