|
TEMERLOH: Hospital Temerloh bernilai RM480 juta yang dijangka mula beroperasi
awal April ini akan menjadi model bagi pembinaan
hospital kerajaan pada masa depan, kata Menteri
Kerjaraya, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Beliau berkata, hospital canggih, dan memaparkan
reka bentuk mesra pengguna dan bertaraf dunia
itu mempunyai pelbagai kemudahan standing atau
lebih baik berbanding beberapa pusat perubataan
swasta terkenal negara ini.
Katanya, kemudahan itu mengambil kira keperluan
masyarakat termasuk Pusat Rawatan Pesakit Luar,
Unit Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi
dilengkapi kolam hidroterapi moden, pusat pentadbiran
serta wad canggih.
“Hospital ini mempunyai 480 katil, tetapi
jika perlu, ia mampu menampung 700 katil”
katanya berucap pada majlis penyerahan rasmi HospitalTemerloh,
di sini, semalam. Teks ucapanya dibacakan Timbalan
Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk
Syed Jamal Syed Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kerjaraya
3, Datuk Mohamad Gading, Ketua Setiausaha Kementerian
Kesihatan, Datuk Ismail Adam, Timbalan Ketua Pengarah
(Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian
Kesihatan, Datuk Dr Mohd Ismail Marican, dan pengerusi
SPK-Sentosa Coproration Bhd, Jen (B) Tan Sri Yaacob
Mat Zin.
Penyerahan hospital itu dilakukan Syed Jamal
kepada Ismail yang mewakili Menteri Kesihatan
Datuk Dr Chua Soi Lek.
Samy Vellu berkata, keseluruhan kompleks hospital
berkenaan merangkumi blok hospital, 13 bilik bedah,
klinik pakar dan tujuh blok pangsapuri kediaman
dan kuarters kakitangan.
“Selain itu, ia dilengkapi peralatan klinikal
dan diagnostik, khidmat sokongan dan wad berteknologi
tinggi.
“Apa yang membanggakan ialah projek itu
disiapkan lebih awal iaitu dalam tempoh 34 bulan
berbanding 40 bulan yang biasanya diperlukan untuk
menyiapkan kebanyakan projek seperti itu.
“Kejayaan projek itu mencerminkan satu
lagi pengiktirafan kepada pereka bentuk dan kontraktor
Malaysia yang membuktikan bahawa kita mempunyai
kepakaran untuk membina kemudahan kepakaran untuk
membina kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf
dunia,” katanya.
Samy Vellu berkata, selain kemudahan dan peralatan
teknologi tinggi, perhatian khusus diberikan kepada
reka bentuk, seni bina dan lanskap, termasuk kemasan
yang digunakan untuk lantai, siling serta dinding
seluruh hospital itu.
“Bangunannya berwajah moden, dikelilingi
laman dan taman untuk mewujudkan ruang tenang
dan damai untuk orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, pemberian kontrak bagi projek
seperti itu perlu menerusi proses penapisan dan
pemilihan ketat kerana ia bukan saja perlu menilai
keupayaan dan pengalaman pengurusan projek, tetapi
memastikan kos berpatutan.
“Dengan itu, saya berharap pembinaan hospital
ini akan menjadi contoh kepada kontraktor lain,
bukan saja untuk menyiapkan kerja tetapi mencapai
piawaian kualiti lebih tinggi dan mengikut jadual,”
katanya.
|