|
TEMERLOH 3 FEB- Hospital Temerloh yang dibina
dengan kos RM480 juta dan akan beroperasi April,
bakal dijadikan model kepada semua projek hospital
sekali gus menjadi kebanggaan rakyat negara ini
di abad ke-21.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu
berkata, hospital baru itu yang serba moden menyediakan
pelbagai kemudahan perubatan tercanggih selain
kepakaran kelas dunia bagi menampung 498 katil
pesakit.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan itu standing
malah lebih baik daripada di beberapa pusat perubatan
swasta terkenal di negara ini yang mengambil kira
keperluan rakyat pada masa ini.
“Ia termasuklah Pusat Rawatan Pesakit Luar,
Unit Rawatan Rapi, Pusat Dialisis, Jabatan Fisioterapi
yang turut dilengkapi kolam hidroterapi moden,
pusat pentadbiran serta wad-wad persakit,”
katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada
majlis penyerahan hospital itu daripada SPK-Sentosa
Corporation Bhd (SPK-Sentosa) kepada Jabatan Kerja
Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan di hospital
itu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua
Setiausaha 1 Kementerian Kerja Raya, Datuk Syed
Jamal Syed Jaafar.
Penyerahan rasmi hospital itu dilakukan oleh
Pengerusi SPK Sentosa, Tan Sri Yaacob Mat Zain,
kepada Syed Jamal yang kemudianya diserahkan pula
kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan,
Datuk Ismail Adam yang mewakili Menteri Kesihatan,
Datuk Dr. Chua Soi Lek.
Projek pembinaan Hospital Temerloh bermula Mac
2002 dan siap sepenuhnya Januari tahun ini, enam
bulan lebih awal daripada tempoh sebenar.
Samy Vellu seterusnya berkata, kemudahan di hospital
itu juga merangkumi blok hospital dan wad utama,
blok podium, blok menara, 13 bilik bedah, klinik
pakar serta tujuh blok pangsapuri kediaman dan
kuarters kakitangan.
Pada siding akhbar selepas itu, Ismail memberitahu,
sejurus beroperasi awal April ini, seramai 750
kakitangan termasuk 69 doktor dan doktor pakar
Hospital Mentakab akan dipindahkan ke hospital
baru itu untuk memberi perkhidmatan perubatan
kepada orang ramai.
Bangunan Hospital Mentakab sedia ada pula jelasnya,
akan digunakan sebagai poliklinik selain untuk
menjalankan aktiviti lain termasuk pusat latihan.
Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan
pembinaan projek Hospital Temerloh yang ciri reka
bentuknya hasil kombinasi penyediaan kemudahan
perubatan canggih dan keselesaan untuk pesakit
dan pelawat.
|